Saturday, January 26, 2013

Rehat

Assalamualaikum.

Sejuk, dingin dan berangin. Musim sejuk yang hadir makin mencucuk isi dan tulang. Pemanas bilik yang ada sedia menyumbang jumlah haba yang ada, papan kekunci yang keras seringkali diusik dalam mencari apa yang ada dalam memenuhi hari-hari yang agak panjang, walaupun waktu malam lebih setia menemani.

Januari bakal berakhir, Febuari menjengah tiba. Jika menurut kalendar cina, tahun baru bangsa yang majoritinya menduduki dunia ini juga bakal tiba tidak lama lagi. Perayaan yang dianggap mereka, satu waktu yang mana membolehkan mereka berehat, bercuti daripada kesibukan kerja, waktu yang mana mengizinkan mereka pulang ke rumah, pulang ke kampung untuk bertemu sanak saudara yang sekian lama tidak ketemui.

Kemeriahan bukanlah di bandar, walaupun malam perayaan nanti akan ada sinaran serta bunyi mercun dan bunga api, namun kehangatan, kemeriahan perayaan itu semua di kampung-kampung dan di dalam rumah. Makan bersama, nyanyi bersama, minum bersama. Itulah kehangatan yang diidamkan bagi mereka yang masih punya jiwa kasih sayang.

Berbaki 5 minggu lagi cuti, moga dapat diluangkan dengan lebih bermanfaat. Cuti kali ini amat berbeza dengan cuti musim sejuk tahun lepas. Kurangnya segelintir individu cukup membezakan perasaan dan masa yang diluangkan kali ini. Hikmah dan sabar itu yang diperlukan. Bukan kebetulan, bukan sekadar datang dan pergi, namun cuti kali ini lebih menguji.

Moga semua dalam keadaan sihat, dalam keadaan sejahtera.

No comments: