Friday, December 14, 2012

Zappp

Assalamualaikum.

Tengah-tengah update Instagram, baca komen, balas komen, tiba-tiba datang mood nak menaip. Mood da sempurna tapi tak tahu nak tulis apa.

Salji turun lagi hari ini memutih bumi. Kesejukan di pagi hari tidaklah sesejuk di malam hari apabila salji dan ais mula mencair. Namun, kesejukan kami di sini bukanlah kesejukan yang tidak dihangatkan apabila berada di dalam bilik, ditemani pemanas yang menggunakan sistem air panas di dalam besi. Sila bayangkan.

Pemanas yang sedia ada dibuat oleh manusia itu ditambah lagi dengan kehangatan ukhuwah kami di sini. Tidak kira batch mana, berasal dari mana, namun hubungan yang kami jalin bukan sekadar junior senior, satu kampus, satu malaysia, tidak lain tidak bukan kerana satu aqidah yang sama.

Sebutkan nama mereka di sini, Madmie, Fadzil, Muhaimi, Rozaid, sesiapa sahaja, apa yang diingati pasti kehangatan ukhuwah yang menghangati tatkala musim sejuk datang, penyejuk tatkala musim panas menjelma.

Berbaki tidak sampai 2 tahun lagi, dan ada yang akan pulang Julai nanti, kami bakal meneraju hidup masing-masing, mungkin akan berjauhan, malah mungkin dalam satu tahun tidak akan bertemu. Melupakan sesekali tidak malah merindui itulah yang akan melanda.

Moga kita tetap bersama.

Kita sama-sama berada di jalan yang kita pilih ini ya. ^^

Thursday, December 13, 2012

Retorika

Assalamualaikum.

Uh oh. Blog yang ditinggal sekian lama. Bersawang beranak-anak sudah debu habuk di papan kunci ini. Semalam 12-12-12. Lepas ni takkan ketemu lagi tarikh itu. Ke ahli sains mahu ubah bulan menjadi 13 supaya kita dapat ketemu 13-13-13. Mengarut. Allah dah nyatakan bahawa dalam satu tahun ada 12 bulan. ^^

Baiklah, semester ini dilalui dengan agak tidak lancar seperti sebelum sebelum ini. Banyak perkara berlaku. Yang menyedihkan, yang menyayat hati, yang merosak minda. Aik. Masakan tiada satu pun yang menggembirakan? Hehe. Mestilah ada yang menyeronokkkan, yang mencuit hati malah yang membaiki minda.

Jatuh kena bangkit semula. Cabaran dihadapi bukanlah sekadar untuk jatuh terus jatuh dan jauh dan jatuh lagi jatuh kemudian jatuh jatuh jatuh jatuh...... Namun, sekali jatuh, bangkit! 2 kali jatuh, bangkit! Selemau mana kita, selemah mana kita, selagi kita bangkit, kita akan bersama yang kuat. Lagipun Allah dah berfirman juga yang DIA tidak akan timpa sesuatu untuk hambaNYA melainkan kerana mereka mampu. HambaNYA? Kita lah! Siapa lagi. Ohoi.

Semester sudah mahu berakhir, cuti musim sejuk bakal datang. Ada yang pulang, ada yang tinggal. Semalam salju menyejukkan lagi bumi Beijing, putih kemudian hitam dikotori habuk dan debu. Macam hati kita ye? Brrr. Naudzubillah.

Jiwa masih diberi kurnia untuk menghirup liku-liku hidup yang mematangkan diri, jadi ayuh bersama kita sedut kita hirup yang bermanfaat dalam menjalankan tugas kita sebagai hamba dan sebagai ketua. Aik. Hamba tapi ketua? Unik bukan. Itulah kita jika kita di jalan yang benar. Moga-moga.

45 minit dari sekarang, test akan bermula. Buat sehabis baik! Woohoo!

Thursday, September 6, 2012

Tidak kira di mana

Salam.

Entri kali ini ingin menyentuh rasa dan perasaan kita. Menyentuh mengenai apa yang semua orang masih ada dan pernah ada. Walaupun tidak merasa kasih sayang mereka, namun mereka pernah ada untuk kita.

Ibu bapa, nenek atuk dan sekitarnya. Mereka generasi awal berbanding kita, mereka makan garam lebih daripada kita, walau era berubah, zaman berjalan namun nasihat mereka sangat berguna selagi ia memenuhi syarak.

Lelaki sentiasa salahkan wanita apabila terluka dan sebaliknya. Namun, itu adalah pemikiran yang datang setelah hati terluka dek jati sendiri yang tidak kuat, dalam erti kata lain, dalam proses mematangkan diri sendiri.

"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)

Apa kaitan lelaki wanita dengan generasi terdahulu?

Kaitannya mudah, Adam dan Hawa membuktikan. Bermula satu generasi baru adalah apabila normalnya manusia berkasih sayang, mengikut syarak, mengikut sunnah, menikah dan akan cuba mempertahan rumah cinta mereka. Salah satu cara adalah dengan mempunyai cahaya mata. Bukankah dalam Al-Furqan ada menyebut :

"Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya pula Allah menciptakan pasangannya, dan dari keduanya dikembangkan laki-laki dan wanita-wanita yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah dengan (menggunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain; dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi kamu." (An-Nisa': 1)

Kita sebagai generasi kemudian wajib tahu tanggungjawab kita terhadap mereka. Kadang-kadang mungkin akan terasa beban namun jika kita cukup matang dalam memahami tanggungjawa kita sebagai seorang muslim, seorang anak, seorang cucu, seorang cicit dan seterusnya, maka kita akan tahu betapa besarnya kebahagiaan kita melihat mereka dalam keadaaan yang baik.

Entri ini saya tulis setelah salah seorang kawan saya bercerita mengenai bagaimana dia dan opahnya yang cukup rapat. Dulu opahnya jagakan mandinya, jagakan makannya, Alhamdulillah sekarang dia pula yang menjaga makan minum opahnya. *tsk tsk*

"Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, hanya kepada -Ku-lah tempat kembalimu (Luqman:14)

Insyaallah, sama-sama kita jaga kebajikan manusia lain, Allah akan jaga kebajikan kita.

Gambar hiasan

Sebagai pelajar, kita sama-sama kumpul tenaga sepenuhnya tumpu kepada pelajaran (kahwin awal takpe, sebagai galakan) dan pastikan kita berjaya dalam hidup sebagaimana yang mereka harapkan.

***Beijing memanggil-manggil

Saturday, August 18, 2012

Silam

Apa erti kenangan?

Kenangan manis?

Kenangan pahit?

Tersemat di hati?

Tersemat di minda?

Kenangan mendewasakan?

Kenangan mematangkan?

Atau sekadar memusnahkan impian?

Pahit manis masa lalu, apakah kita sudah lupakan?

Bagaimanakah?

Hanya berkata 'aku sudah buka buku baru' dan berlalu begitu sahaja?

Masakan kenangan itu tidak akan terbit di benak lagi?

Hidup kita hanya 24 jam sehari, mampukah kita berlalu tanpa kenangan?

Friday, August 17, 2012

Rusuk

Tatkala pencari rusuk mula berusaha dalam mendapatkan rusuknya kembali, rusuk yang diyakini itulah milik dia, maka diusahakan sehabis baik, sehabis teliti.

Namun penjaga rusuk enggan menyerahkan, enggan bukan bermaksud pencari itu tersilap, namun masih belum tiba masanya.

Rusuk pula mula terumbang-ambing, tertanya-tanya, itukah pemilik dia.

Sang pencari mulai buntu. Mulai ragu-ragu dengan semuanya.

Walaupun hanya masa yang menjadi kekangan, namun pencari dan rusuk perlu gagah melangkah. Jika tidak, masing-masing tidak dapat bertemu dan bersatu semula.

Kita mungkin tidak tahu tapi kenapa mahu ambil yang negatif berbanding negatif? Itukah lumrah manusia? Sentiasa ke arah yang negatif?

Usaha tangga kejayaan!

Saturday, August 11, 2012

Itulah

Redup, cuaca yang redup menenangkan jiwa.

Sejuk, dingin angin serta salju menerbangkan senyum tawa.

Mendung, gelap langit memadam api harapan.

Terik, sinaran matahari hangat nyalakan igauan indah.

Wednesday, August 8, 2012

Inilah

Salam.

Berhabuk bersawang sudah laman sesawang ini. Inilah manusia, apabila sudah punya masalah, punya kesusahan baru mahu bersihkan sesuatu, perbaharui sesuatu.

Kali ini, entri yang ditaip merupakan entri yang sudah lama tidak disentuh. Berkaitan dengan cinta.

Cinta? uhuk uhuk.

Kebanyakan kenal diri saya dan siapa yang saya akan ketengahkan. Sehingga hari ini, hati ini masih tidak pernah berbolak-balik mengharapkan masa depan yang diredhai.

Bercerita mengenai masa depan, rasanya ramai yang menganggap bahawa harapan itu tidak semestinya akan berjaya dicapai namun, masih ramai juga berfikiran bahawa harapan itu jangan setakat diimpikan sahaja namun harus cari jalan, usaha dan paling terakhir, tawakal.

Kehidupan sementara bukan bermakna ia memendekkan lagi usaha (putus asa), namun ia memanjangkan lagi jejak usaha dalam memperoleh apa yang dikehendaki.

Kita tidak dapat mengagak masa depan kita namun kita dapat merancang apa jenis usaha yang patut kita lakukan.

Jika tersilap langkah, pohon maaf dan jangan cepat melatah. Saya mengalami kesukaran dalam menghadapi masalah kerana diri ini masih belum matang namun saya akan cuba sedaya upaya dalam menjadikan impian yang dibina tidak hanya menjadi satu mimpi tanpa usaha.

Sesungguhnya pahit usaha itu merupakan kemanisan pencapaian.

Berbalik kepada 'cinta'. Main-main sudah tidak lagi menjadi perkataan apabila bercerita mengenai mendirikan baitulmuslim. Setiap aspek sedang dikira, setiap halangan sedang difikirkan. Namun cukup jika hanya berfikir?

Oh, tidak sama sekali. Tindakan perlu diambil, walau apa pun hasilnya, itulah yang meningkatkan tahap kematangan yang dicari.

 Insyaallah akan dipermudah, jika susah maka itulah ujian yang akan dilalui dalam menyambung rentetan kehidupan.

我爱你

Sunday, July 8, 2012

Videografi

Salam. Tiada kata secantik bahasa untuk kita panjatkan kesyukuran melainkan melalui pengabdian kita kepada yang Esa.

Alhamdulillah, semester 2011/2012 sudah berlalu, cuti musim panas dinikmati di Malaysia. Kebanyakan daripada kami berpusu-pusu pulang ke tanah air apabila tamat sudah ujian akhir semester, dan ada juga yang pulang seminggu kemudian.

Apa yang dirancang, apa yang dilaksanakan semua menurut tetapan NYA, walau bagi kita buruk sesuatu itu, maka percayalah, itulah yang terbaik untuk kita. Masakan Yang Mengasihani, akan bagi sesuatu yang buruk kepada kita?

Kami di BFSU dalam kesibukan menelaah, masih sempat mencubit sedikit masa untuk menyiapkan satu lagi filem pendek terbitan Madmie Channel didukung AMIR China yang memaparkan kisah tipikal yang berlaku di seantero dunia; dengki, fitnah dan khianat.

Seringkali kita terbaca di dada blog, akhbar dan sebagainya bagaimana manusia sekarang seakan-akan sudah tidak kisah lagi perihal saudara sendiri, malah sanggup khianat semata-mata untuk kepentingan sendiri. Jadi kami paparkan filem pendek ini khas untuk kita bermuhasabah diri agar kita dijauhkan daripada golongan yang membakar amalan sendiri.

Filem pendek ini mengambil masa satu semester (4 bulan), agak panjang kerana kami juga punya tugasan lain untuk diselesaikan. Segala kekurangan harap ditegur agar lebih baik, dan segala yang baik, moga dipungut dikutip dijadikan pedoman.

Fauzan Ghazi, The Criminal. ^^



Sunday, June 3, 2012

Ukhrawikah diri kita?

Salam. Sambil ketap kuku sambil mata mencanak ke dalam skrin komputer riba. Permulaan yang bagus tidak semestinya akan berakhir dengan baik dan sebaliknya, namun usaha itu yang dinilai. Masakan kita tahu pengakhiran kita di sana nanti?

Pernahkah terlintas di benak kita, kita hidup bukan sekadar untuk hari esok malah untuk hidup untuk kali kedua, kehidupan yang abadi. Berapa minit kita fikirkan tentang ukhrawi? Berapa minit kita fikirkan tentang hari penghitungan? Jika minit yang diperuntukkan untuk memikirkan pengakhiran, insyaallah kita akan tergolong dalam golongan yang paling bijak namun jika minit itu adalah untuk duniawi, rugilah kita.

Berapa minit kita berbicara mengenai dunia, jika nak bandingkan dengan akhirat? Adakah kita lebih bercakap mengenai '100 billboard', Melodi lebih daripada Al-Kuliyyah, DrMaza? Hitunglah keuntungan dan kerugian kita dalam berbicara agar kita tahu apa yang kita perlu laksanakan.

Jika hari ini kita menuduh seseorang 'memandang serong' terhadap kita, adakah kita tidak dikira 'memandang serong' terhadapnya? Pernahkah kita bertanya kepadanya sendiri benarkah apa di benak? Atau hanya membuat andaian sendiri, lalu dibuai kata-kata yang memburukkan daripada pihak lain? Cuba tanya pada diri sendiri, 'tidakkan itulah memandang serong, bersangka buruk?'.

Muhasabah diri, jangan ditanya kesalahan orang lain namun pujuklah diri sendiri berkata benar.



“orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang yang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Akan tetapi, orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar.”


Monday, May 21, 2012

Bukan Sekadar Semester 6

Salam.

Tik Tok Tik Tok, jam di dinding setia mengejar masa. Sap sap sap, sawangan disapu, entri baru ditaip.

Sudah hampir 3 bulan blog ini dibiarkan berhabuk debu, entri paling terbaru Feb lalu. Sekarang sudah Mei.

Hari ini 30 Jamadilakhir. Esok 1 Rejab. Hanya 2 bulan sebelum Ramadhan.

'Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian melainkan orang orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran' (103:1-3)

Semester ini, input yg diperoleh sangat merisaukan. Kenapa? Kerana input2 tersebut buka mata, mata hati yang mana dapat melihatkan pelbagai kerosakan yang berlaku.

Input yang menarik perhatian musuh manusia, syaitan. Mereka cuba datang dengan punya kekuatan yang lebih, namun jika kita, mampu jadi manusia Super dengan Islam maka kita lah yang paling dilindungi oleh maha Kuasa.

Semester mula menyinsing ke barat, tiket pulang ke tanah air juga sudah dibeli.


Moga terus berusaha ke arah yang lebih baik bawah payungan yang ESA.

Tuesday, February 28, 2012

Nantilah! Belum datang Hidayah lagi


Salamualaik.

Hidayah. Petunjuk. Pedoman.

Apa yang kita sering dengar sekarang merupakan dengusan yang mana mendustakan hidayah yang dikurniakan.

'Nantilah aku taubat. Tunggu dapat hidayah ye'

'Slow2 la, nanti aku pakai tudung. Mungkin hidayah tak datang lagi'

'Ape ko merepek ni, aku tak rasa ada pedoman lagi la'

Namun pernahkah kita terfikir bahawa hidayah kepada umat akhir zaman ini sangat melimpah ruah. Ingatkah pada janji Allah?

"Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya kejalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus".
(Q.S. Al-Maa’idah [5]: 16).


Jadi, apa alasan kita untuk berkata tidak kepada amar ma'ruf nahi munkar? Ke nak tunggu nak bagi alasan kat Padang Mashar nanti?

Sama-kita menuju ke arah yang lebih baik. Moga hari ini lebih baik daripada semalam.

**Berubah kena laju, merubah slow2**

Friday, February 24, 2012

GG, Seoul, South Korea


Salamualaik.

Alhamdulillah, akhirnya menjejak kaki pulang dengan selamat ke kota Beijing. Perjalanan kami akhirnya berlalu. Mohon agar diredhai.

14-23 Februari 2012 merupakan tempoh masa kami di sana yang mana telah kami muatkan dengan jaulah, daurah yang bermanfaat.

18-20 Februari 2012 telah kami berlapan dari Beijing sertai Gyeoul Gathering yang mana memang osem dan sangat berguna untuk dibekalkan.

Makan minum di sana memuaskan hati termasuklah Tokpukki, Kebab Turki, Albap, Ikan Bakar dan sebagainya.

Ikhwah Korea yang menjemput, meneman, menghantar, mereka semua memang terlebih osem dan ukhuwah yang kami jalinkan amatlah manis ditambah pula bersama Ikhwah Jepun. Semua ada jalan dan cara tersendiri namun kami disatukan bawah naungan NYA.

GG yang disertai, mempertemu kami dengan Abang Kucai, Abang Addie, Ustaz Salam dan Cik Hasyimah. Mereka merupakan batalion yang sentiasa mendukung segala apa yang diperjuangkan dan dengan itu, semangat yang ada, dibakar dan dibakar sentiasa agar tidak malap.

63 Building, Seoul Tower, Nami Island dan sebagainya dilawati kami mewujudkan kekaguman dalam hati kerana ini lah tanda kekuasaan Allah. Mana akan wujud tanpa kekuasaan NYA.

Moga lepas ini masih ada peluang untuk ke tempat lain kerana DIA. :)




"Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" (QS. An Nisaa 4:100)

Wednesday, February 15, 2012

Itaewon

Salamualaik.

Post kali ini agak istimewa namun ringkas. Kenapa? Kerana post ini ditaip di Itaewon, Seoul South Korea.

Kenapa kami diterbangkan di sini? Nantikan post penuh setelah pulang ke Beijing kerana ni post melalui ipod (susah nak taip)

Moga Allah redha.

Doakan kami semua ya.

Wednesday, February 8, 2012

1 + 1


Salamualaik.

Semenjak dua menjak ni, Beijing sejuk ditimpa angin musim. Suhu masih tidak berganjak untuk meningkat namun mentari tidak pernah putus menyinari.

Kesejukan kami kali ini bukan sahaja di kampus tetapi di daerah yang berlainan, daerah sebelah timur. Kami menempatkan diri selama 5 hari 4 malam buat pertama kali dan kali ke dua selama 6 hari 5 malam.


Penempatan merupakan salah sebuah kondominium seorang pegawai di Kedutaan Malaysia di Beijing bersama suaminya; Kak Anna dan Abang Z.

Ramahnya mereka seperti abang dan kakak sendiri. Mesranya mereka seperti kawan baik sendiri.

Kami di sana menginap dan menganggap bahawa cuti kali ini merupakan cuti yang agak bermakna di sini kerana di sana kami memperoleh lebih banyak ilmu yang berguna untuk dibekalkan di masa hadapan.

Di sana, kami peroleh juga cara dan bagaimana untuk memastikan hubungan antara sesama manusia boleh diikat kemas dan ketat.



Kami di sana merupakan chef jemputan, menu tiap hari berlainan, malah kami berjaya dengan kek coklat, kek vanila dan puding roti (siap bwk g kedutaan utk majlis maulid)

Solana menjadi singgahsana, yang mana di sana lah ada kedai roti, pusat beli belah, panggung wayang dan sebagainya.

Pada khamis lepas juga kami ke Nanshan Ski Village untuk berski. :)



Terima kasih buat Kak Anna dan Abang Z.

Friday, January 27, 2012

Semangat

Salamualaik. Semalam tak tahu macam mana, tiba-tiba sahaja diselongkar kembali laci, diselongkar kembali rak keluarkan Diana F+ dan perkakas.

Diana jadi tatapan, 6 gulung filem di genggaman. Dalam hati 'tak boleh jadi, kena kembali' (cakap dalam hati macam otai padahal noob sahaja).

Laman Lomokids pada facebook dilayari dan soalan diajukan. Tak terfikir yang otai-otai akan jawab. Dan jawapan yang mereka bagi memang boleh bangkitkan kembali semangat beranalog.

Jadi, ada beberapa tips untuk bagi yang hilang semangat dalam dunia fotografi. Tak kira analog atau digital.

1. Jangan malu untuk beramah mesra dengan penggiat dalam bidang sama.
2. Sentiasa cari inspirasi/tema baru bagi menghasilkan sesuatu yang baru.
3. Kena sentiasa layari laman Flickr, Lomography, apa saja yang berkaitan.
4. Perlu Istiqamah (bahagian paling penting)
5. Belajar melalui internet menjimatkan seperti melalui youtube dan forum.
6. Sesuaikan diri dengan gaya hidup Analog.
7. Paling penting, paling perlu, niat kena betul.

Jika kita mengejar dunia nescaya akhirat akan pergi jauh dari kita, maka kejarlah akhirat nescaya pasti dunia mengejar kita.

Jadi, tak kira lah apa yang kita lakukan, buatlah sesuatu itu demi akhirat. Contoh, melalui analog, boleh berdakwah, melalui analog, boleh tunjukkan indahnya islam.

Analogger serta semua, semoga kita semua di jalan yang diredhai. :)

*Sebahagian nasihat otai*

Thursday, January 26, 2012

Sahabat

Salamualaik.

Bercerita pasal sahabat. Perkataan 'Sahabat' itu sendiri apabila dituturkan, lebih akrab bunyinya, lebih rapat hubungannya.

Sahabat yang boleh jana pahala kita. Sahabat yang boleh jana dosa kita.

“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim).

Hadith di atas terang-terang menyatakan siapakah sahabat/jiran yang terbaik dan kita dapat fikir sendiri siapakah tidak.

Namun ada juga di antara kita yang terlepas pandang dan beranggapan bahawa Sahabat hanyalah mereka yang berasal dari tempat yang sama seperti dari Malaysia, ada juga yang beranggapan yang sama agama barulah dipanggil sahabat.

Bagi saya sendiri, sahabat yang sebaiknya adalah kerana Allah. Maka hari ini jika kita punya sahabat bukan berasal dari Malaysia, bukan beragama Islam namun jika kita bersahabat dengan mereka semata-mata kerana Allah, nescaya kita semua merupakan sahabat yang diidamkan.

Bayangkan, yang mana hari ini tiada prejudis antara kita dengan sahabat, tiada buruk sangka, tiada fitnah malah tiada tipu muslihah kerana kita bersahabat untuk mendapatkan Redha, maka segala apa yang buruk, akan kita tinggalkan.

Bersahabat bukan untuk diri sendiri, namun untuk mereka dan Allah S.W.T

-Sahabat-

Terima kasih buat semua sahabat tak kira kenalnya kita di mana, jauh dekat sekarang dan sayangnya sesama kita dengan izin Allah. :)

Wednesday, January 11, 2012

Cuti Musim Sejuk

Salamualaik.

Cuti musim sejuk bermula. Buku-buku ditutup buat sementara. Kesejukan sedang mencapai maksimum. Jari-jari mula menitip setelah hampir sekian lama tidak mencoret.

Cuti. Kami di luar negara, Beijing ni, tiba sahaja cuti musim sejuk atau cuti musim panas, kebanyakan mula memikirkan apa yang patut dirancang dan apa yang patut dilaksanakan.

Ada yang merancang pulang ke Malaysia, ada yang merancang untuk melancong, dan ada juga yang merancang untuk berada di Beijing sahaja. Mari kita ambil perbezaan antara perancangan pelajar luar negara dengan perancangan pelajar di dalam Malaysia.

Semestinya apa yang otak hati kita terfikir merupakan, pelajar luar negara akan merancang untuk ke tempat yang lebih jauh dan menyeronokkan seperti Korea, Austria, Europe dan sebagainya, namun pelajar dalam negeri, mereka akan fikirkan pulau-pulau di Malaysia, Pulau Langkawi, Pulau Redang dan sebagainya.

2 destinasi namun perbezaannya amat ketara. Pelajar dalam negeri, mereka kebanyakan akan berhempas pulas untuk bekerja, berjimat untuk peroleh sdikit duit lebih untuk berjalan manakala pelajar tajaan, untungnya mereka hanya perlu berjimat. Jadi, apabila kebanyakan antara kita yang berada di luar negara mula muat naik gambar di negara-negara yang berlainan, tidakkah pelajar dalam negeri akan rasa rendah diri dan banyak dari mulut mereka, 'Untung lah'.

Memang rezeki tu sudah ditetapkan untuk masing-masing namun cara kita manfaatkan bukan dengan meng'update' apa yang kita dapat, ke mana kita pergi. Kenapa?

Ini sebab kita membuka pintu untuk mereka yang tidak berpeluang ke luar negara untuk berfikir sejenak dan berkata, 'Tak adillah macam ni'. Walhal, rezeki yang kita peroleh dari Dia yang Maha Adil. Jadi, tidakkah kita terasa bahawa kita telah mencela sedikit (dalam keadaan tidak sedar) keadilan Dia?

Ada pula yang berada di luar, tatkala ingin pulang ke Malaysia, bisnes yang difikirkan. Apa yang boleh dijual, kebanyakannya mahal di Malaysia, murah di tempat belajar. Bisnes dikaitkan dengan modal, jadi pelajar tajaan boleh dikatakan kebanyakannya punya modal sendiri untuk berniaga, berbeza dengan pelajar di Malaysia, yang bergantung pada PTPTN atau hasil kerja sendiri di francais-francais McDonald, KFC, warung dan sebagainya untuk memulakan bisnes.

Jadi, sama-sama kita fikir, sama-sama kita tentukan cara untuk kita berbuat sesuatu agar orang lain merasakan bahawa rezeki yang Allah bagi itu sama rata, dan niat untuk sesuatu perlaksanaan itu terus ke Jalan Allah. :)

PS : Selamat jalan, selamat pulang kepada semua kawan-kawan tidak kira di mana sahaja. Betulkan niat kerana Allah. Belajar dan berkongsilah walau secebis. Jaga diri.