Monday, November 23, 2009

Mencari Erti

Kenapa begini dan begitu? Itulah persoalan yang tidak putus-putus mengenai hidup masing-masing. Apabila keperitan hidup tidak juga mengajar kita mengenal erti hidup yang seharusnya kita jalani, maka kita sebenarnya terlalu sombong untuk menghadapi permasalahan, barangkali bukan sombong tapi jiwa yang lentur, minda yang kaku mematikan segala zarah sesal.

Mencari erti hidup amat sukar buat insan yang memikirkan dirinya tiada guna, tiada makna, malah mengatakan diri sendiri bodoh diulit angan-angan. Menyedari begitu, insan tersebut masih lagi mahu angan-angan membawanya ke alam yang lebih jauh, alam yang lebih sengsara, bahkan alam menyesatkan! Kerana baginya, angan-angan itulah yang memakunya ketika jatuh, memapahnya ketika lemah tapi dirinya tidak pernah sedar bahawa angan-angan itu akan lesap sekali dia bukakan mata hatinya.

Sekali mata hati dibuka, maka disedarinya dunia ini betul-betul tidak adil, dunia ini terlalu kejam dan ketidakmatangan melanda diri menyebabkan segala hidupnya haru biru memikirkan betapa kenyataan itu menyakitkan hati, merobek jiwa. Apabila diri cuba untuk menenunaikan angan-angan sebelum ini, maka kecewa yang diperoleh akibat diri masih belum mempunyai minda yang matang, hati yang cekal untuk menempuh rintangan.

Namun pun begitu, sekali rebah bukan bererti diseret, bukan bererti jatuh dan terus jatuh, melainkan yang rebah dan jatuh mahukannya seperti begitu. Setiap makhluk dicipta akan jatuh, akan rebah, bagi menyedarkan masing-masing bahawa hidup ini bukan untuk jatuh tapi untuk terus berdiri dan jika sesekali jatuh, lekas mampu berdiri semula. Ia hanya bergantung kepada kekuatan diri serta kecekalan hati yang ada disertakan doa terhadapNYA.

No comments: